Bom gergasi MOP yang mampu menembusi kubu bawah tanah sedalam 60 meter.
Amerika Syarikat giat usaha hasilkan bom besar seberat 13,600 kg
KRISIS kewangan dunia yang turut dirasai Amerika Syarikat, ternyata bukan halangan negara kuasa besar itu meneruskan agenda mempamerkan kekuatan pertahanannya, termasuk menghasilkan bom gergasi yang bakal siap seawal pertengahan tahun depan.
Demi memastikan impiannya itu tercapai, Washington yang kini dibebani hutang mencecah AS11.9 trilion (RM39 trilion), mempercepatkan usaha penghasilan bom dikenali ‘Massive Ordnance Penetrator (MOP) yang turut menjadi bom bukan nuklear terbesar yang serba canggih dalam persenjataan negara itu.
Bom konvensional seberat 15 tan atau 13,600 kilogram, diusahakan syarikat Boeing menerusi kontrak bernilai AS52 juta (RM174 juta). Ukurannya pula panjang enam meter dengan ukur lilit satu meter.
Menurut pemerhati isu pertahanan dan keselamatan antarabangsa menerusi laman webnya, GlobalSecurity.org, MOP yang turut dikenali dengan nama ‘Big BLU’ atau program ‘Direct Hard Target Strike Weapon’ dalam dokumen tertentu, membabitkan peruntukan sebenar kira-kira AS74.5 juta (RM249 juta) - tidak termasuk ujian dan kontrak program integrasinya.
‘Kehebatannya’ pula berdasarkan ciri-ciri ganasnya iaitu mampu membawa bahan letupan seberat 2,400 kilogram dan 10 kali lebih kuat daripada bom bakal digantinya yang dipasang pada pesawat pengebom Stealth B-2, ketika ini.
Ia juga dikatakan dapat memusnahkan kubu bawah tanah dengan kedalaman mencecah 60 meter sebelum meletup.
Jika dilihat, biarpun ujian MOP dimulakan pada 2007, usaha penghasilan bom gergasi itu terbantut selama dua tahun akibat masalah kewangan dan hanya beberapa bulan lalu, pentadbiran Rumah Putih yang kini di bawah pentadbiran Presiden Barack Obama, memutuskan program itu harus dihidupkan kembali.
Namun, seperti dilaporkan media pertahanan antarabangsa, MOP bukanlah bom terbesar pernah dibina Amerika kerana pernah menghasilkan bom T12 seberat 44,000 pound atau 19,000 kilogram. Malah, bom paling ‘popular’ Amerika - GBU-43 yang digelar ‘Mother of All Bombs’ adalah seberat 9,525 kilogram.
Bagaimanapun, MOP boleh disifatkan sebagai bom konvensional terbesar yang serba serbi lebih canggih berbanding bom sebelumnya dengan ciri-ciri termasuk sistem arahan berasaskan laser selain dilengkapi Sistem Kedudukan Global (GPS).
Apa yang pasti, keupayaan MOP itu sebenarnya jelas merujuk kepada dua musuh utama Amerika ketika ini - Iran dan Korea Utara yang sememangnya diketahui memiliki kekuatan bom nuklear, termasuk pembinaan loji dan kubu di bawah tanah.
Malah, ini diakui Setiausaha Akhbar Pentagon, Geoff Morell, yang menegaskan bom gergasi itu mensasarkan kawasan atau tapak kubu bawah tanah yang turut digunakan Pyongyang dan Teheran bagi program nuklear mereka.
Namun, bagi menepis dakwaan mengaitkan program bom MOP secara langsung dengan ancaman Iran dan Korea Utara, Morell menafikan Amerika sudah menetapkan sasaran tertentu bagi menghalakan bom gergasi berkenaan.
“Bagi saya, tiada sesiapa pun yang boleh meramalkan sasaran yang disifatkan sebagai berpotensi untuk diserang. Bom ini hanya memberikan keupayaan yang kami anggap sebagai perlu berikutan situasi dunia yang kita hadapi sekarang,” katanya.
Apa pun alasan mereka, kehadiran MOP itu disusuli persoalan mengenai keperluan Amerika mewujudkan senjata pembunuh itu.
Selain meneruskan tradisinya mempamerkan kehebatannya di mata dunia dengan persenjataan dan kelengkapan ketenteraan yang canggih, bom MOP itu menjadi amaran Amerika kepada Iran dan Korea Utara supaya menamatkan program nuklear mereka.
Malah, MOP itu dianggap pelan alternatif menangani program nuklear Iran selepas negara Islam itu mendedahkan kewujudan tapak nuklearnya yang tersembunyi di sebuah gunung berhampiran kota suci bagi pengikut Syiah, Qom.
Korea Utara yang diketuai pemimpinnya, Kim Jong Il, pula sememangnya diketahui negara yang memiliki kekuatan nuklear dan sudah melakukan beberapa siri ujian letupan, termasuk di bawah tanah.
Pada masa sama, Amerika juga mahu menunjukkan kepada Russia dan China - dua negara lawan tradisinya, bahawa Washington tidak pernah melupakan usaha mengukuhkan kekuatan persenjataan dan sistem pertahanannya, biarpun berdepan masalah kewangan.
Dan sudah semestinya, kekuatan Amerika itu juga pasti memberi kelegaan kepada negara sekutu utamanya, Israel, yang sememangnya diketahui berkongsi banyak program dan peralatan ketenteraan dengan Amerika.
Namun, setakat ini, kehebatan MOP adalah di atas kertas dan kekuatan sebenarnya belum teruji lagi. Dakwaan boleh dibuat bagi menjayakan perang psikologi Washington dengan musuh utamanya.
Apa yang membimbangkan, kerakusan Amerika menghasilkan senjata baru itu hanya menggiatkan lagi perlumbaan senjata di peringkat dunia, khususnya Russia dan China yang tidak mahu ketinggalan.
No comments:
Post a Comment