UPSI menang anugerah tingkat mutu kerja

Oleh Ihsan Noorzali
upen@bharian.com.my

KUMPULAN Iqra' dari Perpustakaan Tuanku Bainun, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), muncul antara pemenang Konvensyen Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja (KMK) Perkhidmatan Awam peringkat Perak, baru-baru ini.

Memenangi tempat ketiga, sekali gus meraih Anugerah Pegawai Kewangan Negeri Perak bagi kategori pengurusan menerusi pembentangan projek bertajuk 'Kelewatan Memproses Keratan Akhbar', kumpulan itu menerima RM1,000, piala iringan dan sijil penghargaan.

Konvensyen tahunan dua hari di Ipoh itu menyaksikan 30 pasukan dari pelbagai agensi perkhidmatan awam negeri Perak mengambil bahagian.

Selain Iqra’ bagi kategori pengurusan, UPSi turut menghantar satu lagi pasukan dari Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Harta Benda bagi kategori teknikal.

Kumpulan Iqra’ diwakili Azhari Maani sebagai ketua, Mohd Hizam Samin, Hasrul Fazli Abd Halil, Zaini Alipiah, Wan Adnan Wan Ab Rahman, Siti Norliza Shamsudin, Hafizah Yahya dan Noriati Nordin.

Sebelum ini, kumpulan meningkatkan mutu kerja Perpustakaan Tuanku Bainun itu pernah memenangi tempat kedua konvensyen sama dan ketiga Konvensyen KMK Institusi Pengajian Tinggi Awam pada 2005.

Ketua Pustakawan, Perpustakaan Tuanku Bainun, Zahariah Mohamed Shaharoon berkata kemenangan itu hasil kerja keras setiap anggota kumpulan.

“Saya sentiasa menyokong aktiviti kumpulan dalam meningkatkan mutu kerja kerana ia dapat membantu perpustakaan mengatasi masalah, sekali gus melicinkan pentadbiran,” katanya.

Menjelaskan pemilihan tajuk projek berkaitan keratan akhbar, katanya, ia adalah bahan sokongan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negeri Perak, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim ketika menyampaikan hadiah kepada pemenang menyarankan semua kumpulan terbabit meneruskan projek inovasi masing-masing.

Kongsi katil tingkat risiko kematian

4 peratus SIDS babit bayi tidur bersama seorang ibu atau bapa

PARIS: Satu kajian dikeluarkan semalam mendapati lebih separuh daripada kematian bayi secara tiba-tiba berpunca daripada berkongsi katil atau sofa bersama ibu atau bapa mereka.

Kejadian yang juga dikenali sebagai SIDS atau sindrom kematian bayi secara tiba-tiba itu boleh berisiko tinggi terutama selepas orang dewasa yang tidur bersama bayi terbabit baru mengambil ubat atau alkohol, kata kajian terbabit.

SIDS diterima sebagai istilah dalam bahasa perubatan sejak 40 tahun lalu bagi menerangkan kes di mana bayi terutama berusia dua hingga enam bulan mati dengan sebab yang sukar diterangkan.

Sejak itu, penyelidik mengenal pasti beberapa faktor risiko SIDS yang berkaitan dengan sikap.

Tidur secara meniarap misalnya dilihat lebih berkemungkinan menjadi punca kepada kematian yang tidak boleh diperjelaskan itu. Objek lembut seperti bantal di tempat tidur bayi bersama ibu mereka yang merokok juga dikaitkan dengan bilangan tinggi kematian.

Kempen kesedaran awam di negara membangun mengurangkan kadar kematian berkenaan lebih separuh daripada 1 dalam 800 kepada kurang daripada 1 dalam 2,000 sejak dua dekad lalu.

Bagaimanapun persoalan masih lagi mengenai sama ada ia berlaku lebih kerap di beberapa sektor masyarakat berbanding yang lain.

Untuk mencari jawapan berkenaan, sepasukan penyelidik diketuai Peter Fleming dari Hospital St Michael di Bristol, Britain mengkaji 80 kes SIDS yang berlaku di barat daya England dari 2003 hingga 2006.

Mereka membandingkan dua kumpulan, satu dengan 82 bayi berisiko tinggi kerana ibu bapa mereka merokok, mempunyai masalah sosial, ibu tunggal bersama dua atau lebih anak manakala 87 bayi lagi daripada keluarga terpilih secara rawak.

Daripada bayi SIDS terbabit, 54 peratus mati ketika mereka tidur bersama seorang ibu atau bapa.

"Kebanyakan mungkin diterangkan secara interaksi antara tidur bersama ibu bapa yang baru mengambil alkohol atau ubat," kata penyelidik.

Dalam kumpulan kawalan kedua, kadar bagi tidur bersama adalah sebanyak 20 peratus. � AFP