UPSI menang anugerah tingkat mutu kerja

Oleh Ihsan Noorzali
upen@bharian.com.my

KUMPULAN Iqra' dari Perpustakaan Tuanku Bainun, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), muncul antara pemenang Konvensyen Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja (KMK) Perkhidmatan Awam peringkat Perak, baru-baru ini.

Memenangi tempat ketiga, sekali gus meraih Anugerah Pegawai Kewangan Negeri Perak bagi kategori pengurusan menerusi pembentangan projek bertajuk 'Kelewatan Memproses Keratan Akhbar', kumpulan itu menerima RM1,000, piala iringan dan sijil penghargaan.

Konvensyen tahunan dua hari di Ipoh itu menyaksikan 30 pasukan dari pelbagai agensi perkhidmatan awam negeri Perak mengambil bahagian.

Selain Iqra’ bagi kategori pengurusan, UPSi turut menghantar satu lagi pasukan dari Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Harta Benda bagi kategori teknikal.

Kumpulan Iqra’ diwakili Azhari Maani sebagai ketua, Mohd Hizam Samin, Hasrul Fazli Abd Halil, Zaini Alipiah, Wan Adnan Wan Ab Rahman, Siti Norliza Shamsudin, Hafizah Yahya dan Noriati Nordin.

Sebelum ini, kumpulan meningkatkan mutu kerja Perpustakaan Tuanku Bainun itu pernah memenangi tempat kedua konvensyen sama dan ketiga Konvensyen KMK Institusi Pengajian Tinggi Awam pada 2005.

Ketua Pustakawan, Perpustakaan Tuanku Bainun, Zahariah Mohamed Shaharoon berkata kemenangan itu hasil kerja keras setiap anggota kumpulan.

“Saya sentiasa menyokong aktiviti kumpulan dalam meningkatkan mutu kerja kerana ia dapat membantu perpustakaan mengatasi masalah, sekali gus melicinkan pentadbiran,” katanya.

Menjelaskan pemilihan tajuk projek berkaitan keratan akhbar, katanya, ia adalah bahan sokongan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negeri Perak, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim ketika menyampaikan hadiah kepada pemenang menyarankan semua kumpulan terbabit meneruskan projek inovasi masing-masing.

No comments: