Intai peluang kerja

Oleh Shamshul Azree Samshir
sazree@bharian.com.my



Program terbesar di PWTC bantu graduan cari kerja, berniaga

BERITA baik untuk graduan dan kumpulan pencari kerja - lebih 10,000 peluang kerjaya dan 600 syarikat tempatan yang mahu mendapatkan bekalan modal insan menanti pengunjung Karnival Kerjaya dan Keusahawan Graduan (K3G) 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini.

Karnival terbesar yang berlangsung sejak semalam hingga esok, tidak seharusnya dilepaskan kerana ia mungkin menjanjikan harapan bagi graduan yang baru menamatkan pengajian atau kumpulan pencari kerja mendapatkan profesion idaman atau sekurang-kurangnya meninjau prospek dalam sektor pekerjaan termasuk bidang baru dan sektor keusahawanan.

Penganjuran acara ini ketika dunia berdepan krisis kewangan nyata tepat pada masanya. Karnival K3G 2009 yang dianjurkan Kementerian Pengajian Tinggi menjadi landasan bagi kerajaan dan sektor swasta menangani isu pengangguran serta pada masa sama, memecahkan halangan fizikal dan psikologi rakyat terutama kumpulan pencari kerja untuk mencapai mimpi dan aspirasi dalam suasana ekonomi sekarang.

Bertemakan 'Capai Kerjaya Impian Anda', Karnival K3G 2009 akan membantu rakyat meningkatkan pencapaian hidup melalui kerjaya lebih mencabar dan peluang meneroka dunia perniagaan. Sehubungan itu, ribuan peluang kerjaya dan perniagaan akan ditawarkan kerajaan dan sektor swasta sepanjang karnival ini termasuk di luar negara.

Menurut penganjur, Karnival K3G 2009 mula mendapat perhatian kumpulan pencari kerja terutama graduan yang baru menamatkan pengajian berikutan mereka sudah pun mendaftar secara talian beberapa minggu sebelum acara ini berlangsung. Ini memberi petanda karnival kerjaya dan keusahawan seumpama ini amat berkesan bagi membantu kumpulan pencari kerja mendapatkan profesion idaman.
GRADUAN mendaftar pekerjaan secara online di Karnival Kerjaya & Keusahawan Graduan 2009 di Dewan Tun Razak PWTC

Selain berpeluang bersemuka dengan syarikat atau majikan, kumpulan pencari kerja boleh mendapatkan pelbagai maklumat melalui beberapa acara sampingan seperti seminar kerjaya dan kaunter panduan menulis resume dan meningkatkan keyakinan diri sepanjang karnival ini. Dalam hal ini, golongan pelajar atau penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) wajar berkunjung ke karnival ini sebagai persiapan tamat belajar kelak.

Ini diakui sendiri penganjur yang juga menggariskan kumpulan sasaran yang sepatutnya tidak melepaskan peluang berkunjung ke Karnival K3G 2009. Kumpulan ini ialah lulusan pra universiti; graduan yang baru menamatkan pengajian atau memiliki pengalaman bekerja antara setahun atau dua tahun; kumpulan pekerja matang dengan lebih dua tahun pengalaman bekerja; pekerja separuh masa dan usahawan.

Memetik laman web Karnival K3G 2009, acara ini mempunyai beberapa objektif iaitu antaranya mendedahkan kumpulan pencari kerja dan majikan mengenai aliran dan pembangunan baru dalam sektor pekerjaan; menggalakkan individu mencari kerja melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran diperlukan selain membantu mereka yang berminat menceburi dunia keusahawan merebut peluang perniagaan yang ditawarkan.

Jika anda sedang mencari pekerjaan, pastikan anda berkunjung ke Karnival K3G 2009 di PWTC!
SUASANA Karnival Kerjaya & Keusahawanan Kebangsaan di PWTC.

Soal jawab Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan (K3G)

Kelayakan dan kategori pekerja yang dicari majikan atau syarikat yang menyertai Karnival K3G 2009?

Majikan atau syarikat yang menyertai Karnival K3G 2009 menawarkan pelbagai kategori pekerjaan dari pelatih, jawatan tetap untuk lepasan universiti hinggalah pengurusan kanan.

Sehubungan itu, amat penting bagi anda membawa salinan resume supaya bakal majikan dapat mengetahui latar belakang anda dan menyesuaikan kelayakan dimiliki dengan jawatan yang mahu ditawarkan. Lebih baik jika anda menyimpan resume dalam pen drive (pemacu storan) supaya ia boleh diagihkan kepada majikan jika salinan bercetak kehabisan.

Jika tidak yakin dengan gaya penulisan resume, anda boleh mengunjungi bengkel resume yang diadakan sepanjang Karnival K3G 2009. Anda boleh mendapatkan nasihat mengenai cara menulis resume, teknik persembahan dan tip lain. Pastikan resume yang ditulis lengkap, tidak mempunyai sebarang kesalahan dan paling penting, anda jujur dalam membentangkan fakta.

Apakah majikan yang menyertai karnival ini mahu mendapatkan tenaga pekerja berpengalaman saja?

Tidak semestinya. Ada banyak kategori jawatan yang ditawarkan dan pengalaman bukanlah satu-satunya syarat. Lazimnya majikan mahu pekerja yang difikirkan mampu memberi perkhidmatan terbaik.

Sehubungan itu, pastikan anda memberi impak dan tampil yakin ketika bertemu bakal majikan pada karnival ini.

Apakah saya perlu mematuhi kod berpakaian ketika menghadiri Karnival K3G 2009?

Ya. Anda dilarang memakai seluar pendek, selipar atau kemeja T tanpa lengan. Ingat, pandangan pertama daripada gaya yang ditampilkan amat penting.

Mungkin anda memilih untuk tidak memakai sut atau tali leher, gaya business casual atau kasual sudah memadai. Apa yang penting, anda selesa dan tampak yakin.

Berapa lama masa saya habiskan bersama bakal majikan pada sesi rundingan?

Ingat, Karnival K3G 2009 diadakan sepanjang hari. Jadi, tidak perlu anda terus berjumpa semua pihak dalam tempoh 10 minit pertama. Ambil masa berbincang dengan bakal majikan dan nantikan bagaimana mereka boleh mencari jawatan sesuai untuk anda.

Jika anda datang bersama rakan-rakan, lebih baik berpecah dan berjumpa bakal majikan secara berasingan. Ini penting supaya anda dapat memberi impak lebih positif dan mantap secara bersendirian di depan bakal majikan.

Jangan takut untuk bertanya lanjut mengenai jawatan yang ditawarkan dan pada masa sama, bersedia untuk menjawab soalan mengenai diri anda.

Siapa boleh membantu saya pada Karnival K3G 2009?

Kakitangan MY Events akan membantu anda setiap masa. Selain itu, Zon Sumber iaitu kawasan khas untuk pengunjung bertanya juga disediakan untuk memberi panduan serta menjawab kemusykilan anda.

Selain itu, ceramah kerjaya juga diadakan bagi memberi anda tip kerjaya dan apa yang dimahukan majikan.

Namun, biarpun banyak kemudahan disediakan untuk anda, semuanya tidak membantu jika anda datang tanpa sebarang persediaan. Jika ini berlaku, anda akan hanya membuang masa beratur daripada membuat jaringan atau perhubungan dengan bakal majikan.

Syarikat atau majikan bagaimana yang akan saya temui?

Ada banyak kategori majikan dan syarikat yang menyertai karnival ini termasuk dari sektor industri. Ini bermakna, semuanya ada mengikut keperluan anda.

Apa lagi yang perlu saya lakukan sebelum berkunjung ke Karnival K3G 2009?

Lebih baik anda memikirkan siapa yang anda mahu temui di karnival ini. Ini membolehkan anda mengisi masa dengan berkesan dan efisien ketika bertemu majikan berpotensi.

# Acara : Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan (K3G) 2009
# Tema : Capai Kerjaya Impian Anda!
# Anjuran : Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia
# Diuruskan oleh : MY Events Sdn Bhd
# Tarikh : Bermula semalam hingga esok
# Tempat : Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur
# Jam : Dari 10 pagi hingga 7 malam.

FAKTA: K3G 2009

23,000 - Orang mendaftar secara online untuk mendapat pekerjaan sehingga Rabu lalu seperti direkodkan penganjur

1,200 - Orang mendaftar untuk mengikuti seminar kerjaya

600 - Syarikat swasta yang mendaftar untuk menyertai Karnival K3G 2009.

10,000 - Peluang pekerjaan menanti graduan dan golongan pencari kerja.

Sektor pekerjaan ditawarkan sepanjang Karnival K3G
# Insurans
# Bioteknologi
# Pendidikan
# Makanan dan minuman (F&B)
# Kerajaan
# Kejuruteraan
# Pusat Panggilan
# Petrol dan gas
# Perbankan dan kewangan
# Pengeluaran
# Logistik
# Teknologi komunikasi dan maklumat (ICT)

KPT sedia cari universiti lain jika Indonesia tolak

SERDANG: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersedia mencari universiti di negara lain yang memberikan ruang dan peluang kepada pelajar Malaysia berikutan dakwaan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Indonesia enggan menerima pelajar negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata perkara itu perlu diberi perhatian oleh semua penaja seperti Mara, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan yayasan pendidikan.

"Penaja utama seperti JPA, Mara dan yayasan perlu mengambil kira perkara ini untuk menghantar pelajar mereka. Kementerian sedia membantu mencari negara lain yang membuka ruang dan peluang kepada pelajar Malaysia," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan dan penyerahan Resolusi Mahasiswa 1Malaysia di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin, bahawa terdapat beberapa universiti di Indonesia yang akan menghentikan pengambilan pelajar Malaysia berikutan pelbagai isu yang dibangkitkan pihak tertentu di negara itu.

Bagaimanapun, katanya, Universiti Andalas di Sumatera tidak terpengaruh dengan sentimen anti-Malaysia itu dan akan terus mengambil pelajar dari negara ini.

Mohd Noh berkata, tindakan beberapa universiti Indonesia yang menghentikan pengambilan pelajar Malaysia juga dapat dibaca orang ramai menerusi Internet.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata bagi melindungi keselamatan rakyat Malaysia di Indonesia, Kedutaan Malaysia di Indonesia diminta supaya mengeluarkan satu garis panduan bersepadu yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Penuntut Malaysia.

"Memang kita (kerajaan) sedang bincangkan mengenai tindakan yang bersepadu... Kita sedang lahirkan pendekatan menyeluruh untuk berhadapan keadaan ini tetapi duta adalah punca kuasa.

"Tindakan keselamatan perlu dibangunkan secara bersepadu untuk peniaga, pelajar, pengunjung dan pelawat dan sebagainya. Di peringkat kita, kita ada data semua penuntut kita yang ada di Indonesia tetapi ia hanya bagi yang berdaftar dengan kita sebab ada juga yang persendirian yang tidak memaklumkan," katanya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia yang tinggal di sana perlu mengamalkan nilai hidup yang tidak mencetuskan keadaan yang boleh menimbulkan masalah.

"Panduan mengenai nilai murni dan apa yang perlu seseorang lakukan adalah berasaskan kepada keadaan semasa. Ini juga patut jadi perkara yang perlu didedahkan kepada penuntut kita di sana," katanya.

Mengenai rungutan ramai peminjam yang sukar mendapatkan kelonggaran bayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Mohamed Khaled berkata perbadanan itu mempunyai pegawai khas untuk menyelesaikan masalah peminjam yang ingin membayar pinjaman mereka.

"PTPTN sememangnya sedang meningkatkan usaha mereka mengutip dan menguatkuasa pembayaran tetapi pada masa yang sama kita menggalakkan mereka yang tergolong dalam kumpulan ini datang membuat bayaran dan berbincang dengan pegawai yang berkaitan.

"Kalau pergi ke kaunter, itulah jawapan standard yang diberikan...saya minta (pergi ke sana)...PTPTN mempunyai pegawai tertentu untuk berunding dan berbincang secara fokus dan terperinci mengenai perkara ini (pembayaran)," katanya.

Beliau mengulas laporan Kesatuan Pekerja-Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (MASEU) semalam bahawa permohonan anggota kesatuan itu untuk membayar secara ansuran ditolak PTPTN sebaliknya dia diminta melangsai keseluruhan pinjaman RM17,000.

Terdahulu, pada majlis itu, Mohamed Khaled turut menyampaikan geran program bernilai RM30,000 kepada lima institusi pengajian tinggi yang memenangi pertandingan 1Malaysia yang bermula pada Julai lalu.

Lima institusi itu ialah UPM, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) serta Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), dan dua Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) iaitu Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). - Bernama