KPT sedia cari universiti lain jika Indonesia tolak

SERDANG: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersedia mencari universiti di negara lain yang memberikan ruang dan peluang kepada pelajar Malaysia berikutan dakwaan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Indonesia enggan menerima pelajar negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata perkara itu perlu diberi perhatian oleh semua penaja seperti Mara, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan yayasan pendidikan.

"Penaja utama seperti JPA, Mara dan yayasan perlu mengambil kira perkara ini untuk menghantar pelajar mereka. Kementerian sedia membantu mencari negara lain yang membuka ruang dan peluang kepada pelajar Malaysia," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan dan penyerahan Resolusi Mahasiswa 1Malaysia di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin, bahawa terdapat beberapa universiti di Indonesia yang akan menghentikan pengambilan pelajar Malaysia berikutan pelbagai isu yang dibangkitkan pihak tertentu di negara itu.

Bagaimanapun, katanya, Universiti Andalas di Sumatera tidak terpengaruh dengan sentimen anti-Malaysia itu dan akan terus mengambil pelajar dari negara ini.

Mohd Noh berkata, tindakan beberapa universiti Indonesia yang menghentikan pengambilan pelajar Malaysia juga dapat dibaca orang ramai menerusi Internet.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata bagi melindungi keselamatan rakyat Malaysia di Indonesia, Kedutaan Malaysia di Indonesia diminta supaya mengeluarkan satu garis panduan bersepadu yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Penuntut Malaysia.

"Memang kita (kerajaan) sedang bincangkan mengenai tindakan yang bersepadu... Kita sedang lahirkan pendekatan menyeluruh untuk berhadapan keadaan ini tetapi duta adalah punca kuasa.

"Tindakan keselamatan perlu dibangunkan secara bersepadu untuk peniaga, pelajar, pengunjung dan pelawat dan sebagainya. Di peringkat kita, kita ada data semua penuntut kita yang ada di Indonesia tetapi ia hanya bagi yang berdaftar dengan kita sebab ada juga yang persendirian yang tidak memaklumkan," katanya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia yang tinggal di sana perlu mengamalkan nilai hidup yang tidak mencetuskan keadaan yang boleh menimbulkan masalah.

"Panduan mengenai nilai murni dan apa yang perlu seseorang lakukan adalah berasaskan kepada keadaan semasa. Ini juga patut jadi perkara yang perlu didedahkan kepada penuntut kita di sana," katanya.

Mengenai rungutan ramai peminjam yang sukar mendapatkan kelonggaran bayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Mohamed Khaled berkata perbadanan itu mempunyai pegawai khas untuk menyelesaikan masalah peminjam yang ingin membayar pinjaman mereka.

"PTPTN sememangnya sedang meningkatkan usaha mereka mengutip dan menguatkuasa pembayaran tetapi pada masa yang sama kita menggalakkan mereka yang tergolong dalam kumpulan ini datang membuat bayaran dan berbincang dengan pegawai yang berkaitan.

"Kalau pergi ke kaunter, itulah jawapan standard yang diberikan...saya minta (pergi ke sana)...PTPTN mempunyai pegawai tertentu untuk berunding dan berbincang secara fokus dan terperinci mengenai perkara ini (pembayaran)," katanya.

Beliau mengulas laporan Kesatuan Pekerja-Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (MASEU) semalam bahawa permohonan anggota kesatuan itu untuk membayar secara ansuran ditolak PTPTN sebaliknya dia diminta melangsai keseluruhan pinjaman RM17,000.

Terdahulu, pada majlis itu, Mohamed Khaled turut menyampaikan geran program bernilai RM30,000 kepada lima institusi pengajian tinggi yang memenangi pertandingan 1Malaysia yang bermula pada Julai lalu.

Lima institusi itu ialah UPM, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) serta Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), dan dua Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) iaitu Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). - Bernama

No comments: