'Penempatan guru dibeku tidak benar'
Oleh Khairina Yasin
"SAYA tidak maksudkan penempatan graduan pendidikan universiti awam akan dibekukan, cuma mungkin berlaku kelewatan berikutan keadaan ekonomi negara kini yang tidak menentu.
“Berapa lama kelewatan itu, kita tidak pasti,” kata Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Zakaria Kasa.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai emel yang mendakwa beliau membuat kenyataan bahawa graduan pendidikan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) termasuk UPSI akan dibekukan, mulai tahun depan.
Emel dikirimkan seorang pelajar UPSI ke Unit Pendidikan Berita Harian itu menimbulkan kebimbangan mahasiswa universiti terbabit berikutan tersebarnya kenyataan itu menerusi sistem pesanan ringkas (SMS).
Sambil menegaskan kenyataannya pada majlis perasmian Simposium Hala Tuju Pendidikan Fizik di Malaysia di UPSI baru-baru ini, beliau berkata, sebenarnya ia disalah tafsir.
“Ia sebenarnya peringatan awal kepada mahasiswa supaya lebih bersedia dengan sebarang kemungkinan berlaku pada masa depan.
“Kita tidak tahu kesan ketidaktentuan ekonomi ketika ini, kerajaan mungkin lebih berhemah dalam berbelanja dan ia secara tidak langsung boleh menyebabkan kelewatan dalam pelbagai perkara, termasuk penempatan guru,” katanya.
UPSI mengeluarkan jumlah graduan pendidikan tertinggi di kalangan IPTA iaitu kira-kira 3,500 setahun.
Sambil berharap agar mahasiswa membetulkan semula pemahaman mereka terhadap kenyataannya sebelum ini, Zakaria menjelaskan setakat ini tiada pekeliling atau arahan mana-mana pihak khususnya kementerian berkaitan perkara itu.
Sehubungan itu, katanya, mahasiswa program pendidikan UPSI mahupun IPTA lain tidak perlu panik atau terpengaruh dengan kenyataan disalah faham itu dan perlu bersikap lebih rasional.
No comments:
Post a Comment