PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bukan dasar Kementerian Pelajaran menjadikan rupa kriteria memasuki institusi latihan perguruan.
Timbalan Perdana Menteri berkata, sebaliknya pemilihan dilakukan berdasarkan set kriteria standard.
Justeru, beliau yang juga Menteri Pelajaran mengarahkan Ketua Pengarah Pelajaran menyiasat dakwaan bakal pelatih Institut Perguruan Rajang, Sarawak, Joanna Gilbert Asson menjadi mangsa diskriminasi kerana gemuk dan tidak layak memasuki institut itu.
“Bukan menjadi dasar kementerian mendiskriminasi pemilihan pelatih guru berdasarkan rupa fizikal.
“Berdasarkan set kriteria standard, Joanna berjaya dalam proses pemilihan dan layak sebagai pelatih di institut berkenaan dalam Kursus Perguruan Lepasan Ijazah,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Akhbar kelmarin melaporkan dakwaan Joanna, seorang pegawai kanan institut itu mengarahkannya pulang ketika melaporkan diri pada 22 Jun lalu kerana gemuk dan memintanya kembali tahun depan selepas menguruskan badan.
Berat Joanna ialah 110 kilogram dan tidak menjadi isu ketika ditemu duga sebelum itu.
Wanita berusia 29 tahun yang juga lulusan Pentadbiran Perniagaan Universiti Tenaga Nasional itu menulis surat kepada Kementerian Pelajaran untuk menarik diri daripada kursus itu dan meminta wang pendaftaran RM300 dikembalikan.
No comments:
Post a Comment