Cara Manusia Mengelak/Membohongi....


Salah satu sumbangan Freud yang sangat penting kepada psikologi adalah konsep mekanisma bela diri ego. Sistem tenaga psikik tersebar di dalam sistem id, ego dan superego dan secara asasnya id mempunyai semua tenaga psikik.
            Disebabkan ego memerlukan tenaga psikik untuk berfungsi, keadaan konflik wujud di antara tenaga pendorong id dan tenaga menghalang ego dan superego. Pada kebanyakan masa, dunia luar berfungsi untuk memuaskan kehendak ego. Kadangkala dunia luar mengancam ego dan apabila ego menerima rangsangan yang terlalu banyak ia akan dibanjiri kebimbangan.
            Kebimbangan mungkin wujud dalam tiga bentuk iaitu kebimbangan realiti (reality anxiety), kebimbangan neurotik (neurotic anxiety) dan kebimbangan moral (moral anxiety). Kebimbangan realiti adalah disebabkan bahaya yang wujud di dunia luar. Ia termasuk ketakutan kepada api, gempa bumi, taufan dan bencana alam lain atau takut kepada binatang liar. Kebimbangan ini mendorong kita melindungi diri daripada sebarang bahaya.
            Kebimbangan neurotik terhasil disebabkan takut instinct tidak dapat dikawal yang menyebabkan individu melakukan sesuatu yang mana ia akan dihukum. Oleh itu, Freud percaya keinginan untuk memenuhi keperluan id akan menimbulkan perasaan takut dan bimbang. Ketakutan ini bukan suatu naluri tetapi kesan daripada perbuatan memenuhi kehendak id tersebut.
            Kebimbangan moral pula adalah takut kepada conscience. Dengan perkataan lain, seseorang yang mempunyai superego yang kuat akan merasa bersalah apabila melakukan sesuatu yang melanggar kod moral. Perasaan bersalah dan malu dalam kebimbangan moral timbul daripada dalaman diri seseorang.
            Kebimbangan menjalankan fungsi yang penting. Ia memberi amaran kepada individu tentang bahaya yang mendatang dengan memberi petunjuk kepada ego bahawa sesuatu tindakan yang sesuai perlu diambil oleh ego kerana jika ia tidak melakukan demikian, fungsinya akan dilucutkan.  
            Kebimbangan adalah satu keadaan ketegangan yang menggalakkan tindakan individu. Apabila ego tidak dapat menangani kebimbangan melalui kaedah yang sesuai dan rasional, ia akan mengambil tindakan yang tidak realistik iaitu mekanisma bela diri-ego. Kita menggunakan mekanisma bela diri apabila kita berhadapan dengan situasi yang mana ego kita terancam. Mekanisma ini penting untuk menolong kita menangani kegagalan dan untuk mengekalkan imej kendiri yang positif.   
            Helah bela diri adalah merupakan proses psikologi yang bertujuan untuk mengurangkan penderitaan ego yang tidak dapat mengawal id dengan baik dan membantu ego mempertahankan dirinya dari desakan dan dorongan yang kuat dari id. Terdapat beberapa jenis helah bela diri yang sering digunakan. Di antara helah bela diri yang sering digunakan dalam kehidupan kita ialah:

Represi (Repression)
Represi merupakan mekanisma bela diri yang asas dalam diri seseorang individu. Ianya berlaku secara tidak sedar iaitu menyingkirkan pengalaman-pengalaman dan perasaan-perasaan yang tidak menyenangkan, menyakitkan atau menakutkan agar pengalaman dan perasaan tadi tidak akan menimbulkan kebimbangan. Contohnya, Sara telah berkahwin dengan Saleh. Secara tiba-tiba kekasih lamanya Haikal muncul. Sara telah menekan pemikiran masa lalu bersama Haikal ke dalam ingatan bawah sedar atau melupakan kenangan tersebut supaya dapat menjaga hubungan baik dengan suaminya.
            Bagi Patterson (1996), terdapat dua jenis represi. Pertama, represi yang membentuk pengalaman menjadi tidak sedar iaitu perkara dalam keadaan prasedar yang tidak dimasukkan ke alam sedar ditolak ke alam tidak sedar. Kedua, represi yang menghalang perkara masuk ke alam prasedar dengan menetap dalam alam tak sedar. Perkara yang disingkirkan adakalanya timbul semula dalam bentuk tingkah laku seperti dalam tidur, igauan ketika sakit dan sebagainya.

Sublimasi (Sublimation)
Mekanisma bela diri ini adalah untuk melepaskan tenaga agresif dalam diri individu dalam bentuk yang paling baik, positif dan boleh diterima oleh masyarakat sekitarnya. Sebagai contoh, seseorang yang mempunyai perasaan agresif yang tinggi mungkin memilih untuk bermain bola sepak atau menumbuk beg tinju.

Regresi (Regression)
Regresi adalah reaksi kepada tekanan yang melibatkan pengunduran balik kepada tahap penyesuaian yang kurang matang untuk membolehkan seseorang itu merasa selamat, terjamin dan untuk mendapatkan keperluannya dipenuhi. Contohnya, isteri yang dimarahi oleh suami akan menangis seperti kanak-kanak.

Identifikasi (Identification)
Menurut Corey (2005), identifikasi biasanya berlaku pada individu yang sama jantina. Contohnya, seorang kanak-kanak lelaki akan berlagak seperti ayahnya kerana terlalu mengaguminya. Oleh itu, identifikasi digunakan bagi individu untuk membuat penyesuaian dengan menyifatkan dirinya seperti orang lain yang mempunyai kebolehan, pencapaian dan status yang lebih baik darinya. Seseorang juga mungkin mengidentifikasi dirnya dengan kumpulan sukan atau kelab sosial untuk meningkatkan status diri.     

Penafian (Denial)
Penafian melibatkan keengganan untuk mengakui realiti yang tidak disenangi dengan menafikan kewujudannya. Kebanyakan kita enggan menerima realiti, kematian orang yang disayangi, menafikan kritikan atau menafikan kata-kata doktor tentang diagnosis penyakit seseorang. Ini adalah untuk mengelakkan tekanan dan melindungi kita daripada konflik dan masalah sebenar yang dihadapi dalam kehidupan seharian.   

Pembentukan Reaksi (Reaction Formation)
Cuba menunjukkan tingkahlaku yang berlawanan daripada apa yang ada dalam pemikirannya untuk menutup pemikiran yang dianggapnya tidak baik. Contohnya, Zulkifli berkata kepada rakan-rakan perempuannya “saya sayangkan isteri saya, tak mungkin saya akan kahwin lain. Saya ini setia pada isteri saya ”. Bagaimanapun rakan-rakan perempuannya terkejut apabila dua bulan kemudian terdengar perkhabaran bahawa dia telah bernikah sekali lagi.    

Projeksi (Projection)
Projeksi melibatkan pemindahan tuduhan kerana kesilapan yang kita lakukan kepada orang lain atau meletakkan sifat negatif diri pada orang lain. Contohnya, Rusli berkata “Semua orang menipu semasa mengisi pendapatan mereka di dalam borang cukai pendapatan”. Kenyataannya yang umum ini juga menjelaskan bahawa dirinya pun melakukan perkara yang sama untuk mengelakkan perasaan bersalah setelah menipu.

Pindah Gantian (Displacement)
Satu tindakan mengalihkan emosi daripada sasaran asal kepada sasaran yang lebih selamat. Misalnya, seorang kerani yang dimarahi bosnya tetapi tidak berani menunjukkan kemarahan terhadap bosnya itu menendang pokok bunga di depan rumahnya apabila dia pulang ke rumah untuk melepaskan perasaannya.
Pampasan (Compensation)
Satu usaha mengimbangi satu kelemahan yang ada pada diri seseorang individu. Ini melibatkan tindakan melindungi kelemahan atau perasaan rendah diri dengan membina aspek personaliti atau fizikal yang lain. Misalnya, seorang pelajar yang tidak cemerlang dalam pencapaian akademiknya membina personaliti yang baik.  

Undoing
Satu tindakan untuk memperbaiki satu yang telah rosak dengan harapan dapat mengurangkan rasa bersalah. Misalnya, seorang ayah yang rasa bersalah kerana tidak memberi perhatian kepada anaknya semasa kecil akan berusaha membuat apa sahaja fantasi untuk memperbaiki kesilapannya.

Penarikan
Satu proses yang mana seseorang individu itu secara sengaja menarik diri dari satu situasi yang kurang menyeronokkan. Misalnya, sekiranya seseorang itu tidak biasa ke majlis keramaian maka dia akan berasa tidak selesa dan selamat dalam majlis itu lalu menarik diri untuk menyertainya. Seseorang individu cuba mengurangkan ketegangannya dengan berkhayal dan membentuk satu situasi lain yang tidak mengancamnya dan lebih selesa daripada keadaan yang sebenar.

Keagresifan
Satu tindakan bagi mengeluarkan, mencederakan atau merosakkan punca-punca ancaman atau kekecewaan. Misalnya, seseorang kanak-kanak tidak dapat mengikut ibunya ke kedai maka dia akan meraung, meradang atau menarik tangan ibunya.  

Intelektualisasi
Menggunakan perkataan-perkataan yang dilahirkan oleh pemikiran yang logik, bukannya melalui perasaan dalam usaha menghilangkan perasaan yang menyakitkan.


No comments: