BEBAN tugas banyak, kurang mahir menjalankan program serta tidak mempunyai bahan atau maklumat bagi mengendalikan perkhidmatan adalah antara masalah dihadapi guru bimbingan dan kaunseling melaksanakan tanggungjawab mereka.
Justeru, sekumpulan penyelidik Jabatan Bimbingan dan Kaunseling, Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diketuai Ab Aziz Mohd Yatim menghasilkan modul perisian interaktif bersepadu bimbingan dan kaunseling, Prodigy, bagi merungkai segala permasalahan itu. Ab Aziz berkata, perisian itu dibangunkan bagi membantu kaunselor melengkapkan diri dengan kemahiran berkaitan supaya dapat menjalankan tugas lebih cekap dan berkesan.
Menerusi dua kandungan utamanya, iaitu pengurusan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling serta modul latihan kursus, beliau berkata:
“Pengurusan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling mengandungi penyediaan kertas kerja program, analisis, penerbitan buletin, carta Gantt, soal selidik program, perancangan program, e-kaunseling, jadual, laporan, penyediaan sijil, buku program dan borang berkaitan.
“Kandungan modul latihan kursus pula membabitkan ice-breaking, energizer, kemahiran belajar lima domain, motivasi tenaga bawah sedar (subconscious), kemahiran komunikasi P, A, C, (parents, adult, child).
“Selain itu, pengendalian disiplin alternatif, kasih sayang tanpa syarat (Agape Love), kepemimpinan, kerjaya, personaliti, bina pasukan (team building), relaksasi, kembarun, penghasilan video serta modul pemikiran kreatif.”
Menggunakan modul pengurusan perkhidmatan, beliau berkata, masalah penulisan laporan, kertas kerja, sesi kaunseling dan perancangan bulanan dapat dilakukan lebih sempurna kerana proses dokumentasinya boleh disiapkan dalam tempoh singkat.
Ab Aziz berkata, ketidakupayaan guru bimbingan dan kaunseling menjalankan kursus atau program pula dapat diatasi menerusi modul latihan kursus yang membolehkan mereka melihat kaedah pengendalian modul tertentu melalui VCD dibekalkan.
“Dengan memiliki modul ini, kaunselor akan dapat mengendalikan kursus mengikut kepelbagaian keadaan pelajar seperti nakal, cemerlang, kepemimpinan, lemah pelajaran, kursus bina pasukan, keibubapaan dan kemahiran belajar tanpa pergantungan tinggi terhadap perkhidmatan perunding motivasi luar,” katanya.
Mengenai pendekatan modul itu, beliau berkata, ia lebih mesra pelajar seperti Ice Breaking mengandungi permainan kreatif menggalakkan pelajar menonjolkan potensi dan aspek positif dalam diri seperti rasa hormat kepada rakan, toleransi dan persaingan sihat.
Modul kemahiran belajar lima domain pula, katanya, antara lain membimbing pelajar menggunakan konsep sinergi dan kreativiti untuk merangsang otak kanan bekerja supaya dapat belajar dengan berkesan serta mengingati kandungan pembelajaran dengan lebih mudah.
Beliau berkata, pemupukan kasih sayang dalam komuniti pula diwujudkan menerusi modul Agape Love yang menggalakkan peserta mengamalkan sikap positif itu tanpa mengira agama, bangsa dan kaum sejajar semangat Satu Malaysia.
“Selain kegunaan guru bimbingan dan kaunseling di sekolah, Prodigy juga boleh dimanfaat kaunselor pelajar institusi pengajian tinggi serta pengendali program latihan bagi membangun potensi diri golongan sasaran,” katanya.
Prodigy mendapat beberapa pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, antaranya pingat perak pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi (Itex 2009), Anugerah Inovasi UPSI 2005, selain turut didedahkan pada Pameran Antarabangsa Reka Cipta, Produk dan Teknik Baru 2006 di Geneva, Switzerland.
No comments:
Post a Comment